Sejarah rumah warisan

Pengenalan Pemilik Rumah



Encik Bazid bin Haji Haron. Berusia 69 tahun dan merupakan anak jati Melaka kerana beliau lahir dan menetap di Melaka. Berkerjaya sebagai pesara askar. Beliau telah berkahwin dengan gadis pujaannya Puan Ramlah Hassan yang kini menjadi istrinya dan beliau telah berusia 62 tahun. Puan Ramlah Hassan lahir di Batu Anam, Segamat namun dibesarkan di Johor Bahru dan kemudianya berpindah dan menetap di rumah warisan itu yang terletak di Melaka selepas beliau mendirikan rumah tangga bersama Encik Bazid. Puan Ramlah Hassan juga merupakan suri rumah sepenuh masa selepas beliau berkahwin.

Sejarah rumah



Rumah warisan Encik Bazid bin Haji Haron ini terletak di Lorong Haji Tahir di Jalan hang Li Poh, Bukit Cina Melaka. Mengikut cerita Encik Bazid, rumah ini merupakan rumah warisan keluarganya yang telah dibina sebelum tahun 1912 iaitu tahun dimana pemilik rumah warisan ini ialah datuk Encik Bazid sendiri. Rumah ini didiami oleh 3 generasi yang bermula dari datuk Encik Bazid, diikuti dengan ayah Encik Bazid dan seterusnya Encik Bazid sendiri. Dikatakan juga, istri Encik Bazid, Puan Ramlah Hassan melahirkan kesemua anak-anak mereka dengan bantuan bidan kampung di rumah agam ini.

Tangga  merupakan lambang rumah Melaka.

Keunikan rumah ini adalah ianya dibina menggunakan teknik 'tebuk-pasak' yang membolehkan rumah dibina tanpa mengunakan sebatang paku. Rumah ini juga dibina menggunakan sejenis kayu yang cukup tahan yang membolehkan rumah ini masih teguh berdiri sehingga hari ini. Rumah Warisan Encik Bazid Haron ini juga merupakan gambaran asal rumah yang dibina pada tahun sebelum 1912 kerana rumah ini hanya menerima perhidmatan baik pulih dari pihak PERZIM dari segi atap dan lantainya dan tidak menerima perkihmatan roboh dan bina semula rumah warisan. Rumah ini menerima pengaruh Cina dari segi pembinaan tingkapnya. Dikatakan hanya rumah cina sahaja yang mempunyai tingkap tinggi dan boleh laras.

Rumah warisan ini masih mengekalkan tradisi rumah Melaka iaitu terbahagi kepada 3 bahagian, rumah depan yang bermula dengan serambi atau sengkuap diikuti dengan kawasan tengah yang mempunyai satu bilik, satu loteng / peran, dan ruang rehat. Bahagian seterusnya dipanggil pelantar dan rumah belakang. Bahagian pelantar biasanya tidak berbumbung dan digunakan  untuk menjemur beras dan menyidai pakaian pada zaman dahulu. Namun bagi rumah warisan Encik Bazid, bahagian pelantar telah dibumbungkan dan dijadikan dapur untuk memudahkan pergerakan dikala hujan turun. Kawasan rumah warisan ini juga dipercayai adalah kawasan lautan yang kemudiannya ditambak dan menjadi kawasan penempatan pada zaman dahulu.

Rumah warisan Encik Bazid Haron yang terletak di tengah-tengah bandar Melaka yang pesat membangun  melambangkan walau betapa maju kita bergerak tidak kita lupa akan asal-usul  kita. Dengan perasaan murah hati Encik Bazid Haron, rumah ini menerima kunjunggan sesiapa sahaja yang berminat untuk melawat dan juga sekiranya ingin melangsungkan majlis perkahwinan tanpa dikenakan bayaran sewa tapak.

* Setiap maklumat dan gambar-gambar yang terdapat di dalam blog ini adalah sama dengan keadaan sebenar rumah Encik Bazid Haron pada tarikh 5 Januari 2013 iaitu tarikh soal selidik tentang rumah ini dijalankan dan ianya bersumberkan oleh Encik Bazid Haron dan isterinya sendiri iaitu pemilik rumah warisan ini.

No comments:

Post a Comment